-->

Sejarah Penubuhan Sekolah

Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Utara telah ditubuhkan pada 5 Januari 1969. Pada awalnya merupakan sebuah sekolah cawangan kepada SMK Sultan Ismail Johor Bahru. Ketika penubuhannya seramai 844 orang pelajar dan 35 orang guru ditempatkan di bekas bangunan Asrama Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim di Jalan Tasek Utara.

Akibat daripada sambutan yang menggalakkan dari masyarakat Bandar Baru Uda dengan pertambahan jumlah pelajar kepada 988 orang, maka pada 1 September 1973 sekolah ini telah dipisahkan dari sekolah induknya. Sekolah ini kemudiannya menjadi antara sekolah menengah rendah beraliran kebangsaan yang ulung di daerah Johor Bahru setelah bangunan barunya (sekolah sekarang ini) siap dibina di Jalan Tun Abdul Razak Johor Bahru.

Pada tahun 1977, sekolah ini telah menjadi sekolah menengah penuh apabila menerima pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 aliran sastera dengan jumlah pelajarnya menjangkau 1369 orang. Aliran Sains mula dibuka pada tahun 1980 dan pada 1981 pintunya dibuka untuk menerima pelajar-pelajar Kelas Peralihan. Pada tahun 1992, sekolah ini menerima pelajar-pelajar Rancangan Khas Agama. Pelajar-pelajar Aliran Agama ini ditempatkan di Asrama Pusat Putera Johor Bahru. Pada tahun 2005, Kelas Rancangan Khas (KRK) telah dibuka dengan menempatkan seramai 74 orang pelajar. 2 kelas telah diperuntukkan bagi pelajar perintis KRK ini.

Sekolah ini terletak di atas sebidang tanah seluas 10 ekar dengan jarak jauhnya dari Bandaraya Johor Bahru kira-kira 7 kilometer. Pada asalnya sekolah ini mempunyai 3 blok bangunan, 2 blok yang terdiri daripada bangunan 3 tingkat dan 1 bangunan 2 tingkat sahaja. Pada tahun1991, 4 bilik bangunan PGR siap dan dapat digunakan diikuti pada tahun 1993 sebuah lagi bangunan KBSM siap. Pada akhir 1998, Dewan Besar yang diidam-idamkan telah didirikan hasil daripada usaha gigih PIBG, 90% telah berjaya disiapkan dan dapat digunakan. Usaha untuk menaiktaraf dewan tersebut diteruskan dari semasa ke semasa.

Dengan motto sekolah, "TEKUN USAHA JAYA" yang diambil dari huruf awal Tasek Utara Johor (T,U dan J) juga huruf awal jawi (Ta,Alif dan Jim) yang dijadikan logo sekolah, diperkasa dengan kegigihan "WARGA TASEK" kami penuh percaya sekolah ini akan terus berkembang cemerlang seiring dan setanding dengan sekolah-sekolah lain yang terdapat di Malaysia.